Wednesday, 9 October 2013

ARWAH ABAH DALAM KENANGAN

Tanggal 09.10.2013, genap 4 tahun arwah abah meninggalkan aku dan keluarga menemui yang Maha Esa. Aku ada empat adik beradik dan emak tinggal dengan adik ketiga dan adik bongsu di kampung. Aku hanya sempat mempunyai seorang abah hanya untuk tempoh 31 tahun.  Arwah abah seorang yang tegas, penyayang, kelakar dan bertanggungjawab. Aku merupakan anak yang sulong dan ketika aku kecil arwah abah dan emak bersusah payah menjagaku sehingga aku dewasa.
 
Arwah abah adalah seorang bekas tentera. Selepas berhenti daripada tentera darat, arwah abah bekerja sebagai jaga (pengawal keselamatan) di sebuah sekolah berasrama penuh di Taiping. Ketika aku kecil, emak juga bekerja dengan mengambil upah menoreh pokok getah. Kadang kala dibantu oleh arwah abah jika beliau bekerja shiff petang atau bercuti. Jika arwah abah tidak tolong emak menoreh, beliau akan memasak nasi dan lauk di rumah. Masakan arwah abah sedap dan makanan kegemarannya adalah kari ikan.
 
Arwah abah seorang yang tegas. Jika beliau larang aku daripada buat sesuatu dan aku buat juga pasti akan kena hukuman. Ini kerana latarbelakangnya sebagai seorang tentera mempengaruhinya dalam menguruskan keluarga di rumah. Jika aku kena pukul kerana melanggar larangan, pasti beliau akan pujuk dan menciumku kemudiannya. Sebagai kanak-kanak, jika dipukul tanda dibenci dan jika dipeluk dan di cium tanda sayang. Arwah abah jarang bermanja denganku ketika zaman mudanya. Jadi aku jadi gerun untuk mendekatinya. Semua masalah dan keperluan aku minta daripada emak. Emak akan jadi orang perantaraan.
 
Arwah abah seorang yang kelakar. Beliau mempunyai banyak kawan. Ini aku dapat lihat ketika beliau meningga dunia, begitu ramai kawannya dari merata tempat datang menziarahi jenazahnya. Ketika hidup beliau amat disenangi oleh keluarga dan kawan-kawannya. Beliau yang menceriakan suasana di rumah.
 
Arwah abah seorang yang penyayang. Aku masih ingat ketika aku mendapat anak yang pertama, abahku antara orang yang gembira. Namun anakku lemas ketika lahir dan hidupnya tidak menangis, tidak bergerak dan makan melalui tiub. Itu kehendak Allah, aku dan isteri redha dengan ujian yang diberikan. Ketika aku dan isteri terpaksa menghantar anak istimewa ini untuk dijaga oleh arwah abah dan emak, mereka menjaganya dengan gembira. Anakku dibelikan pakaian dan dibawa berjalan-jalan seperti anak-anak normal yang lain. Hatiku tersentuh dengan sikap penyayang mereka terutama arwah abah yang sering bercerita mengenai anakku ketika beliau menjaganya. Namun Tuhan juga menyayangi anakku ini dan beliau telah meninggal dunia ketika umurnya genap 10 bulan.

Arwah abah mengajar aku erti peranan seorang ayah. Bukan setakat mencari rezeki bagi keperluan keluarga, dia juga membantu emak dengan kerja-kerja rumah. Dia tidak kekok untuk membantu emak membasuh & menjemur baju, menyiang ikan, memasak dan menjaga anak-anak. Aku secara tidak langsung telah terikut dengan perlakuannya membantu isteri di rumah. Oleh sebab itu, aku suka memasak, suka mengemas rumah dan suka melakukan kerja-kerja menyelenggara rumah seperti baiki paip rosak, mesin rumput, mengecat rumah dan sebagainya. Itu antara ilmu berharga yang diajar oleh arwah abah supaya bergantung kepada diri sendiri dan  jangan asyik mengharapkan orang.

Pada hari arwah abah mahu meninggalkan kami sekeluarga, beliau telah menelefon aku pada waktu pagi selepas waktu subuh. Ketika itu aku sedang bersiap untuk pergi bekerja. Arwah abah mengadu yang beliau sakit perut dan mahu ke klinik bersama emak untuk buat pemeriksaan. Aku hanya memberi dorongan dan motivasi untuk beliau ke klinik. Tidak pernah beliau menelefon aku seawal waktu pagi begitu. Ketika jam 4.00 petang, adik bongsuku menelefonku mengatakan abah jatuh daripada kerusi dan aku minta beliau tolong abah. Kemudiannya, adikku menelefonku dan mengatakan abah sudah meninggal dunia. Aku menjadi kelu dan terkedu dan tidak menyangkan apa yang berlaku hanya dalam sekelip mata. Aku bergegas balik ke rumah dan menunggu isteri di rumah untuk balik ke kampong.

Semenjak kematian abah, rumahku menjadi sunyi dengan lawak tawanya. Sejak dari itu aku sentiasa berdoa dan memohon daripada Illahi supaya diampunkan segala dosa-dosa abah dan rohnya dimasukkan ke dalam syurga. Selagi aku bernafas, selagi itu aku akan berdoa, bersedekah dan membaca Al Quran untuk arwah abah. Itu sahaja yang dapat aku lakukan untuk arwah. Aku berharap, anak-anakku juga akan melakukan sedemikian kepadaku kelak. Moga roh arwah abah dicucuri rahmat...Aminnnnnn...
 
 
 

1 comment: